Thursday, December 31, 2009

Explorace JEJAK di Kuala Perlis

26 Dis – satu program untuk remaja yang dinamakan Explorace Jejak telah diadakan di Taman Semarak Kuala Perlis. Program yang bertemakan “Menuruti Jejak Kaki, Mencari Permata Diri” ini telah dianjurkan oleh Jemaah Islah Malaysia (JIM) Perlis dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Taman Semarak. Objektif Explorace Jejak ini ialah melahirkan remaja aktif yang sihat mental, fizikal dan emosi di samping menerapkan nilai-nilai murni berteraskan akhlak Islam ke arah pembentukan remaja Muslim yang unggul. Program ini disertai oleh 13 orang remaja lelaki dan 28 orang remaja perempuan anak-anak penduduk Taman Semarak yang kemudiannya dibahagikan kepada 6 kumpulan. Kemuncak acara adalah Explorace di mana peserta dibawa ke Terminal Bas Kuala Perlis dan dilepaskan untuk sesi pencarian. Sepanjang Explorace ini berlangsung, setiap kumpulan hanya dibekalkan dengan sebatang pen, senaskhah Al-Qur’an dan sebotol air mineral kecil. Telefon bimbit dan wang tidak boleh dibawa. Peserta perlu pergi ke hentian seterusnya berpandukan klu nombor surah dan ayat Al-Quran yang diberikan. Pada setiap hentian, pelbagai tugasan perlu diselesaikan oleh peserta secara berkumpulan seperti teka silangkata, jigsaw puzzle, menyusun ayat dan penyelesaian masalah. Setiap kumpulan kelihatan sungguh bersemangat dan berlumba-lumba untuk sampai ke hentian terakhir. Explorace Jejak ini berakhir dengan penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan dan tayangan video aksi-aksi peserta sepanjang program. Pelaksanaan program seperti ini menguji kesabaran dan ketahan mental, fizikal serta emosi remaja. Dari sini, kita dapat melihat remaja hari ini harus sentiasa didedahkan dengan program-program seperti ini supaya mereka dapat memanfaatkan cuti sekolah dengan baik di samping menambah pengalaman dan menguji ketahanan mereka.
Ok, sekarang kita enjoy tengok gambar ye..zaass!!!


 

0 comments: